Salah satu
perkara yang selalu membuatkan kita lemah adalah timbulnya rasa
tersinggung dihati kita. Munculnya perasaan ini sering disebabkan oleh
ketidaktahanan kita terhadap sikap orang lain.
Ketika tersinggung, paling kurang kita akan sibuk membela diri sendiri, dan akan memikirkan kejelekan orang yang membuat kita tersinggung itu.
Perkara yang paling membahayakan dari rasa tersinggung adalah timbulnya
penyakit hati seperti rasa merendahkan orang lain dan mengumpat. Malah
mungkin menfitnahnya kembali.
Kesan yang
biasa ditimbulkan oleh rasa tersinggung adalah kemarahan.Bila kita
marah, kata-kata jadi tidak terkawal. Stress meningkat. Kerana itu,
ketabahan kita untuk “tidak tersinggung” menjadi satu keharusan.
Apa yang menyebabkan seseorang itu tersinggung?
Tersinggung
seseorang itu timbul kerana menilai dirinya lebih dari kenyataan,
merasa pintar, berjasa, baik, tampan, dan merasa berjaya.
Setiap
kali kita menilai diri lebih dari kenyataan yang sebenarnya, apabila ada
yang menilai kita kurang sedikit sahaja dari expectation kita, maka
kita akan merasa tersinggung. Peluang untuk rasa tersinggung akan
terbuka luas jika kita salah dalam menilai diri sendiri. Kerana itu, ada
sesuatu yang harus kita perbaiki, iaitu cara menilai diri.
Teknik pertama agar kita tidak mudah tersinggung adalah tidak menilai secara berlebihan terhadap diri kita sendiri.
Misalnya, jangan banyak mengingati bahawa kita telah berjasa. Saya
seorang guru, saya seorang pemimpin, saya ini saya itu. Saya seorang
pemurah. Saya banyak menolong rakan-rakan. Semakin banyak kita mengaku
tentang diri kita, akan makin mudah untuk membuat kita tersinggung.
.
Ada beberapa cara yang cukup efektif untuk merendam rasa tersinggung :
Pertama, belajar melupakan.
Jika kita
seorang berijazah maka lupakanlah ijazah kita. Jika kita seorang
pengarah lupakanlah jawatan itu.
Jika kita seorang pimpinan lupakanlah
hal itu, dan seterusnya. Anggap semuanya ini berkat dari Allah agar kita
tidak tamak terhadap penghargaan.
Kita harus
melatih diri untuk merasa sekadar hamba Allah yang tidak memiliki
apa-apa kecuali berkat ilmu yang dipercikkan oleh Allah sedikit. Kita
lebih banyak tidak tahu. Kita tidak mempunyai harta sedikit pun kecuali
sepercik berkat dari Allah. Kita tidak mempunyai jawatan ataupun
kedudukan sedikit pun kecuali sepercik yang Allah telah berikan dan
dipertanggungjawabkan. Dengan sikap seperti ini hidup kita akan lebih
ringan. Semakin kita ingin dihargai, dipuji, dan dihormati, akan kian
sering kita sakit hati.
.
Kedua, kita harus melihat bahawa apa-apa pun yang dilakukan orang kepada kita akan bermanfaat
Kita tidak
akan pernah rugi dengan perilaku orang kepada kita. Sebenarnya kita
tidak boleh memaksa orang lain membuat sesuatu sama dengan keinginan
kita. Apa yang boleh kita lakukan adalah memaksa diri sendiri memahami orang lain dengan sikap terbaik kita.
Apa pun perkataan orang lain kepada kita, walaupun sangat mengguris
hati, tentu itu terjadi dengan izin Allah. Anggap sahaja ini episod atau
ujian yang harus kita lalui untuk menguji keimanan kita.
.
Ketiga, kita harus bersimpati.
Melihat
sesuatu tidak dari sudut pandang kita. Renungkan kisah seseorang yang
sedang membawa gajah berjalan-jalan, dari depan dan seorang lagi
mengikutinya di belakang gajah tersebut.
Yang
berada di depan berkata, “Oh indah sungguh pemandangan sepanjang hari”.
Pasti dia dilempar dari belakang kerana dianggap menyindir. Sebab,
sepanjang perjalanan, orang yang dibelakang hanya melihat punggung
gajah.
Oleh itu, kita harus belajar bersimpati. Jika tidak ingin mudah tersinggung, maka cari seribu satu alasan untuk boleh menyenangkan hati orang lain.
Namun yang harus diingat, berbagai alasan yang kita buat semata-mata
untuk menyenangkan, bukan untuk membenarkan kesalahan. Ingat!
.
Keempat, jadikan penghinaan orang lain kepada kita sebagai ladang peningkatan kualiti diri
Jadikan
penghinaan orang lain kepada kita sebagai kesempatan untuk menyucikan
jiwa, dengan memaafkan orang yang menyakiti dan membalasnya dengan
kebaikan.
Pada suatu
hari, Rasulullah SAW bersama sahabat-sahabatnya sedang duduk bersama.
Tiba-tiba baginda bersabda: “Akan datang selepas ini seorang ahli
syurga.”
Maka
muncul lah fulan bin fulan. Keesokannya juga sama, Rasulullah bersabda
perkara yang sama, dan muncul fulan bin fulan yang sama. Keesokannya
lagi juga sama. Rasulullah SAW bersabda perkara yang sama, dan muncul
fulan bin fulan yang sama.
Akhirnya
seorang sahabat Rasulullah pergi berziarah ke rumah lelaki itu, dan
tidur di rumahnya untuk menyiasat apakah amalannya.
Selama
tiga hari, sahabat Rasulullah itu tidak menjumpai apa-apa ibadah yang
hebat, yang besar,yang menarik. Akhirnya dia menyatakan hajat sebenarnya
tidur di rumah lelaki itu.
Lelaki itu menjawab: “Ibadahku adalah sebagaimana yang kau lihat. Tiada yang menakjubkan. Biasa-biasa sahaja.”
Sambung lelaki itu: “Tetapi di dalam hatiku tidak ada sangka buruk, rasa benci, kepada saudara-saudara mukminku.”
InsyaAllah yang lain akan datang
kemudian. Kelapangan hati, ketenangan jiwa, kesegaran roh, akan hadir
kepada kita insyaAllah. Pasti.
“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka…” Surah Ali-Imran ayat 159
No comments:
Post a Comment