Friday 22 March 2013

Lahirnya Seorang Insan

lahirnya seorang
lahirnya seorang insan itu | baby foot by ~ emilylynch

Dengan nama Allah, Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang.
Dia seorang perempuan dahulunya. Tidak berapa matang dalam memikirkan hal diri, keluarga, dan masa hadapannya. Selalu inginkan teman disisi sebagai penghibur diri daripada perasaan yang sunyi. Masa lapangnya dihabiskan bersama dengan sang kekasih. Dan kekasihnya itu adalah seorang lelaki. Dia seorang lelaki dahulunya.
Suka berseronok hampir setiap masa tanpa rasa jemu. Rasa seronoknya bukanlah di rumah. Jauh sekali di surau dan di masjid. Melepak, dan membuang masa adalah tabiat yang digemarinya. Jika mempunyai masa, dia akan membawa sang kekasih bersama. Kekasihnya itu adalah seorang perempuan.
.

Kisah dahulu

Ibu bapa si lelaki : Pada hari ini, ayah dan ibu mengajak semua berhimpun di rumah ini disebabkan ada beberapa perkara penting yang ingin dibincangkan. Dan, ayah dan ibu ingin memohon maaf atas sebab menganggu ruangan masa kamu berdua bersama. Maaf.
 Si lelaki dan si perempuan diam tanpa bicara.
Ibu bapa si perempuan : Macam ni. Makcik dan pakcik amat risaukan keadaan kamu berdua. Sangat. Bukan sebab cakap-cakap orang, jiran semua. Sebabnya adalah keadaan sekarang yang sangat dahsyat. Kes itulah, kes inilah, macam-macam lagilah. Takut.
Tibat-tiba keadaan sepi seketika. Masing-masing mendiamkan diri. Mencari hikmah bicara, dan kekuatan agar kebenaran tidak akan bersembunyi di lubuk hati.
Si lelaki : Tapi, kami tidak buat apa-apa. Cukup hanya keluar dan berpegang tangan sahaja. Tidak lebih daripada itu.
Si perempuan : Ya. Kami masih lagi menjaga maruah, serta jaga nama baik ahli keluarga. Kami tidak melebih.
Terkedu. Darah muda, barangkali. Untuk belajar memahami, perlu memulakan dengan berlapang dada. Berbaik sangka!
Tua dan muda. Ada titik persamaannya.
.

Kisah kini.

Suami : Sayang. Dah dua tahun kita berkahwin. Tak lama lagi, akan ada insan baru dalam keluarga kita.
Isteri : Ya abang. Sayang tidak sabar menunggu. Inilah zuriat yang pertama kita. Cucu keluarga tok ayah dan tok ibu.
Mereka tersenyum.
Takdir Tuhan melebihi perancangan manusia. Namun, dengan niat yang suci dan murni.. Tuhan itu Maha Mengasihani pada para hamba-Nya. Niat ibu dan ayah menyatukan mereka, semuanya adalah kerana ingin memelihara agama dan menutupi segala pintu-pintu fitnah. Dan ya, kadangkala kita sebagai anak, yang masih lagi muda dan bergetah.. mudah sahaja melenting. Mudah sahaja bertindak melulu. Sebenarnya, kita tidak berapa faham dan tahu.
Sehinggalah sampai satu masa, kita sendiri merasainya. Pada ketika itu, barulah kita mengerti, dan berasa sangat berterima kasih pada ibu dan ayah. Jasa mereka, tidak mampu kita membalas semuanya. Hanya doa, yang mampu menyatukan ikatan cinta antara anak dan ibu bapa. Insya-Allah!
Dan kini, usai beberapa tahun menempuh alam perkahwinan, zuriat pertama telah dianugerahkan.
Alhamdulillah.
Bermula dengan memberi khabar gembira atas kelahiran bayi, diikuti dengan azan dan iqamat, tahnik, memberi nama yang baik, pengurusan uri, akikah dan bercukur rambut, dan disempurnakan dengan berkhitan. Semua dilakukan dengan baik dan sempurna. Semuanya, atas kerana memohon keredhaan-Nya. Semuanya kerana mencintai baginda saw.

Lahirnya seorang insan itu,

kerana ingin menyempurnakan kebenaran yang berpaksikan keimanan. Lahirnya seorang insan itu, kerana ingin menyempurnakan saf-saf hadapan sewaktu solat berjemaah dan barisan kepahlawanan. Lahirnya seorang insan itu, kerana ingin berbakti pada diri, keluarga, masyarakat, dan pada Allah SWT dan Rasul-Nya.
Lahirnya seorang insan itu, kerana ingin mengajak insan-insan lain supaya kembali kepada fitrah. Lahirnya seorang insan itu, kerana ingin mentaati Tuhan yang Maha Esa. Lahirnya seorang insan itu, kerana ingin menjadi hamba-Nya dan khalifah-Nya. Lahirnya seorang insan itu, kerana ingin menyempurnakan amanah.
Maka, sahutlah dengan baik apabila lahirnya seorang insan itu. Peliharalah dirinya, dengan sebaik mungkin. Kerana, insan yang seorang itu adalah seorang anak. Anak itu adalah permata ibu bapa. Anak itu adalah harapan agama. Anak itu adalah kebanggaan baginda. Anak itu adalah cinta yang dikurniakan oleh-Nya buat kita semua!
“Ya Allah, Engkau Tuhan kami. Dan Nabi Muhammad, adalah Nabi kami. Dan Islam agama kami. Kami terima, kami redha.”

No comments:

Post a Comment